20 November 2013

Mesej mengenai angka 40

Berbalas-balas emel dengan kakak sekelas agama berkenaan umur 40 tahun ni. Dan dia emelkan saya versi ustaz punya, yang ni lebih formal dan detail, entry saya sebelum ni ringkas jer, ralit duk dengar ustazah bercerita, jadi conteng sikit2 jer la n nak recall balik payah, huhuhuuuu.....
Saya kongsikan disini ........... 




Share info dari Prof. Ustaz Mohd Najib Abdul Kadir
Ketua Jabatan Fakulti Pengajian Islam UKM
Assalam sahabat yg disayangi...
Makna Angka 40 Dalam Usia Manusia.
Assalamu’alaikum,

Bila ada persoalan tentang umur 40 tahun manusia, saya terfikir sejenak. Belum pernah saya membincangkannya dengan sesiapa sebelum ini. Bila saya cuba mengajak kepada perbincangan, ramai yang berkata itu cuma psikologi barat untuk menggambar kehidupan mesti enjoy dan berseronok, dan pada umur ini barulah fikir tentang masa depan.

Ramai tidak sedar dalam al-Quran ada menyentuh tentang usia ini. Tentu ada yang sangat penting, perlu diperhatikan dan diambil serius akan perkara ini. Allah swt. berfirman,
حَتَّى إَذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِى أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِى أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِى فِى ذُرِّيَّتِى إِنِّى تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّى مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ
"Apabila dia telah dewasa dan usianya sampai empat puluh tahun, ia berdoa, “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.” (al-Ahqaf: 15)

Usia 40 tahun disebut dengan jelas dalam ayat ini. Pada usia inilah manusia mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi, mahupun spiritualnya. Benar-benar telah meninggalkan usia mudanya dan melangkah ke usia dewasa yang sebenar.
Doa yang terdapat dalam ayat tersebut dianjurkan untuk dibaca oleh mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas. Di dalamnya terkandung penghuraian yang jelas bahawa mereka; telah menerima nikmat yang sempurna, kecenderungan untuk beramal yang positif, telah mempunyai keluarga yang harmoni, kecenderungan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah.

Pada ayat yang lain, firman Allah;
أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُمْ مَا يَتَذَكَّرُ فِيْهِ مَنْ تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيْرُ
Apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam tempoh yang cukup untuk berfikir bagi orang-orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepadamu pemberi peringatan?   (al-Fathir: 37)

Menurut Ibnu Abbas, Hasan al-Bashri, al-Kalbi, Wahab bin Munabbih, dan Masruq, yang dimaksud dengan “umur panjang dalam tempoh yang cukup untuk berfikir” dalam ayat tersebut tidak lain adalah ketika berusia 40 tahun.

Menurut Ibn Kathir, ayat ini memberikan petunjuk bahawa manusia apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah dengan bersungguh2.

Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka Allah memberikan janjiNya dalam ayat selepas itu: (maksudnya)  Kematangan.

Usia 40 tahun adalah usia matang untuk kita bersungguh-sungguh dalam hidup. 

Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kejahilan ketika usia muda, lebih berhati-hati, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. 

Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini. Bahkan Nabi s.a.w, seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas:
“Dibangkitkan Rasulullah s.a.w pada usia 40 tahun” (riwayat al-Bukhari).
Nabi Muhammad saw. diutus menjadi nabi tepat pada usia 40 tahun. Begitu juga dengan nabi2 yang lain, kecuali Nabi Isa as. dan Nabi Yahya as.

Mengapa umur 40 tahun begitu penting.
Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah usia manusia diklasifikasikan menjadi 4 (empat) period, iaitu
1. Kanak-kanak ( sejak lahir hingga akil baligh )
2. Muda atau syabab ( sejak akil baligh hingga 40 tahun )
3. Dewasa ( 40 tahun hingga 60 tahun )
4. Tua atau syaikhukhah ( 60 tahun hingga mati )

Usia 40 tahun adalah usia ketika manusia benar-benar meninggalkan masa mudanya dan beralih kepada masa dewasa penuh. Kenyataan yang paling menarik pada usia 40 tahun ini adalah meningkatnya minat seseorang terhadap agama sedangkan semasa mudanya jauh sekali dengan agama. Seolah-olah macam satu fitrah di usia ini ramai yang mula menutup aurat dan mendekati kuliah-kuliah agama.

Salah satu keistimewaan usia 40 tahun tercermin dari sabda Rasulullah saw.,
لعَبْدُ الْمُسْلِمُ إِذَا بَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً خَفَّفَ اللهُ تَعَالَى حِسَابَهُ ، وَإِذَا بَلَغَ سِتِّيْنَ سَنَةً رَزَقَهُ اللهُ تَعَالَى الْإِنَابَةَ إِلَيْهِ ، وَإِذَا بَلَغَ سَبْعِيْنَ سَنَةً أَحَبَّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ ، وَإِذَا بَلَغَ ثَمَانِيْنَ سَنَةً ثَبَّتَ اللهُ تَعَالَى حَسَنَاتِهِ وَمَحَا سَيِّئَاتِهِ ، وَإِذَا بَلَغَ تِسْعِيْنَ سَنَةً غَفَرَ اللهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ وَشَفَّعَهُ اللهُ تَعَالَى فِى أَهْلِ بَيْتِهِ ، وَكَتَبَ فِى السَّمَاءِ أَسِيْرَ اللهِ فِى أَرْضِهِ – رواه الإمام أحمد
"Seorang hamba muslim bila usianya mencapai 40 tahun, Allah akan meringankan hisabnya (perhitungan amalnya). Jika usianya mencapai 60 tahun, Allah akan memberikan anugerah berupa kemampuan kembali (bertaubat) kepadaNya. Bila usianya mencapai 70 tahun, para penduduk langit (malaikat) akan mencintainya. Jika usianya mencapai 80 tahun, Allah akan menetapkan amal kebaikannya dan menghapus amal keburukannya. Dan bila usianya mencapai 90 puluh tahun, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan dosa-dosanya yang dahulu, Allah juga akan memberikan pertolongan kepada anggota keluarganya, serta Allah akan mencatatnya sebagai tawanan Allah di bumi. (riwayat Ahmad)

Hadis ini menyebut usia 40 tahun paling awal memiliki komitmen terhadap penghambaan kepada Allah swt. sekaligus konsisten terhadap Islam, maka Allah swt. akan meringankan hisabnya. Orang yang usianya mencapai 40 tahun mendapatkan keistimewaan berupa hisabnya diringankan. Tetapi umur 40 tahun merupakan saat harus berhati2 juga. Ibarat waktu, orang yang berumur 40 tahun mungkin sudah masuk senja. Abdullah bin Abbas ra. dalam suatu riwayat berkata, “Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dapat mengalahkan amal keburukannya, maka hendaklah ia bersiap-siap ke neraka.”

Imam asy-Syafi’i tatkala mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, “Agar aku ingat bahwa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki sisa2 syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia. Aku juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk dunia, kecuali hal yang menurut syara’ lazim bagiku. Diantara aku dan dia ada Allah.”

Lantas, apa yang harus kita lakukan ketika menginjak usia 40 tahun?
1. Meneguhkan tujuan hidup
2. Meningkatkan daya spiritual
3. Menjadikan uban sebagai peringatan
4. Memperbanyak bersyukur
5. Menjaga makan dan tidur
6. Menjaga istiqamah dalam ibadah.

Jika ada yang mengatakan bahawa: Life began at forty, saya cenderung berpendapat kehidupan yang dimaksudkan ialah kehidupan terarah kepada mendekatkan diri kepada penciptaNya dengan sebenar-benarnya. Tetapi satu perkara yang kita harus sentiasa sedar bahawa kematian memanggil kita bila-bila masa tanpa tanda, tanpa alamat dan tanpa mengira usia. Jika kita beranggapan harus menunggu usia 40 tahun untuk baru memulakan kehidupan yang dimaksudkan di atas, maka rugi dan sia-sia lah hidup kita jika umur kita tidak panjang.


Wasssalam.





Peringatan untuk diri saya sendiri sebenarnya, yang baik kita amalkan, yang tak baik kita tinggalkan. ;-)

Doa bila masuk birthday ke 40 tahun

Di sini saya nak kongsikan satu doa yang diajar oleh Usatazah Suraya dalam kelas agama wanita jumaat (15/11/13) baru ni.




Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: 



“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada kedua ibubapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku.  Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.



Sedikit penjelasan tentang doa di atas,
- Sebelum umur 40 bermacam-macam pahit manis kehidupan dah kita lalui, maka umur 40 dikira umur matang atau dah masuk golongan tua. Allah sebutkan tentang umur 40 ni dalam Surah Al-Ahqaf, ayat ke-15. 
- Ustazah kata bila baca doa ni seolah-olah kita melapor diri pada Allah, bila dah masuk umur 40 kena la perbaiki diri dan dekatkan diri lagi pada Allah, jadi manusia yang lebih baik. Jangan kuat marah, merungut, selalu bersyukur, senyum dan sabar. 
- Ustazah siap pesan suh hafal doa ni awal2 dan tulis kat mana2 bagi ingat, bila dah masuk umur 40 jangan lupa baca doa ni. Kalau dah lebih 40 tahun pun boleh baca masih belum terlewat, selalulah baca doa ni lepas solat.





Peringatan untuk diri saya sendiri sebenarnya, yang baik kita amalkan, yang tak baik kita tinggalkan. ;-)

01 November 2013

Hidup dalam Dunia yang Bersyukur


*Bersyukurlah  kepada Allah kerana mengurniakan  orang  yang menyakiti kamu kerana dialah orang yang menabahkan hati kamu.

*Bersyukurlah  kepada Allah kerana meadakan orang  yang menipu kamu kerana dialah orang yang meningkatkan pengetahuan kamu.

*Bersyukurlah  kepada Allah kerana mengadakan orang yang tidak mengendahkan kamu kerana dialah orang yang memupuk sifat berdikari kamu.

*Bersyukurlah kepada Allah kerana menciptakan orang  yang menjatuhkan kamu kerana dialah orang yang memperhebatkan ability kamu.

*Dan bersyukurlah kepada Allah kerana menjadikan mengurniakan orang yang menyeksa kamu kerana dialah orang yang menguji kesabaran kamu.



sumber: dapat dari emel.


Peringatan untuk diri saya sendiri sebenarnya, yang baik kita amalkan, yang tak baik kita tinggalkan. ;-)

18 October 2013

Ingatan sesama kita

Terima kasih WMA untuk peringatan ini.






Peringatan untuk diri saya sendiri sebenarnya, yang baik kita amalkan, yang tak baik kita tinggalkan. ;-)

09 July 2013

Doa Menyambut Awal Ramadhan

Pesan Ustaz lagi ...


Baca doa ni selepas waktu maghrib pada awal ramadan (malam ni).


Dalam riwayat lain dari haditsnya Thalhah bin ‘Ubaidillah radhiallahu anhu bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengucapkan: ‏

" الله أكبر اللهم أهله علينا بالأمن والإيمان والسلامة والإسلام ربي وربك الله‏"‏ 
(Allahu Akbar Allahumma ahillahu ‘alaina bil amni wal iman was salamati wal Islam Rabbi  wa Rabbuka Allahu)

Artinya: “Allahu Akbar, Ya Allah jadikanlah dia bagi kami bulan dengan keamanan dan keimanan, dengan keselamatan dan Islam Rabbku dan Rabbmu adalah Allah”.


Nota:   ‘Alaina- untuk ramai
‘Alaiyya- untuk seorang
Rabbi – untuk ramai
Rabbuna- untuk ramai

Sumber: http://www.voa-islam.com/islamia/doa/2010/08/09/9032/doa-menyongsong-bulan-baru/


Peringatan untuk diri saya sendiri sebenarnya, yang baik kita amalkan, yang tak baik kita tinggalkan. ;-)

Check List Bulan Ramadan

Ustaz pesan ...

Selain dari amalan fardu, tumpu lima amalan ini dalam bulan puasa:

1. Wujud hubungan dengan Al-Quran. Pasang niat dan usaha khatam Quran sekurang-kurangnya 1 kali.

2. Doa dalam bulan ramadan mustajab. Senaraikan doa-doa yang kita nak. Baca doa tu jer dalam bulan puasa ni. Ulang-ulang hok tu jah (kata ustaz). ;-)

3. Wujudkan aktiviti berjemaah. Solat jemaah, dengar kuliah, tarawih, berbuka berjemaah. Buat perkara dalam berjemaah boleh kawal hawa nafsu.

4. Banyakkan keluar sedekah dalam bulan puasa. Sedekah ikhlas. Jangan anggap duit kita berkurang, sebab pahalanya berganda. Pasang niat nak sedekah seringgit sehari atau lebih (ikut kemampuan).

5. Jaga panca indera. Jaga betul-betul. Tahan diri dari buat benda-benda yang tak molek.

Buat dengan niat untuk mendapat keredaan Allah s.w.t.



Pesan ustaz lagi,
"Hendaklah kita berazam supaya puasa di bulan Ramadhan kali ini lebih baik dan dapat membentuk diri kita menjadi hamba yang semakin taat dengan perintah Allah. Kalau peribadi seseorang itu tidak berubah selepas menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan, maka ini menunjukkan 'latihan' puasanya itu tidak memberi kesan dan ibadah puasanya tiada nilai disisi Allah s.w.t".









Peringatan untuk diri saya sendiri sebenarnya, yang baik kita amalkan, yang tak baik kita tinggalkan. ;-)

27 June 2013

FB yang mengena kat kita-kita

As-salam,


Apabila mati, suara kita akan hilang, jasad kita akan berkubur, kudrat kita tiada lagi, harta kita dibahagi-bahagi.

Yang tinggal hanya kesan..

Kesan ilmu yang kita curahkan.
Kesan akhlak anak yang kita didik.
Kesan harta benda yang kita tinggalkan.
Kesan dari apa yang kita perjuangkan.
Kesan dari apa yang kita lakukan.
Kesan tulisan kita di buku, web, twitter & Facebook.

Jika baik, maka baiklah kita di sana.
Jika buruk, maka buruklah kita di sana.

Tertanya pada diri, apa kesan yang ditinggalkan setakat ini?

Allahu Rabbi...


Seorang mentor saya berpesan, "Apabila seseorang itu berkata-kata, cuba kamu fahami apa yang sebaliknya ingin dia sampaikan".

Contoh:

"Nanti saya tengok!" ~ Saya belum tengok.

"Orang lelaki sibuk mahu kahwin 2, sedangkan 1 bini pun tak terurus" ~ Saya tak puas hati!

"Kalau semuanya ok, kami akan hubungi kamu" ~ Ada benda yang tak kena.

"Anda perlu lakukan dengan cara yang betul" ~ Kamu buat salah.

"Apa yang kamu nyatakan itu ada benarnya, tetapi kalau kita buat dengan cara begini lebih baik" ~ Saya tidak setuju dengan apa yang kamu katakan.

Kerana itu kita perlu berhati-hati apabila ingin berkata-kata.

Kata seorang ulama "Ramai orang kelihatan cerdik sebelum dia membuka mulutnya".


Kata Pak Ustaz, kita boleh mengukur sejauhmana ilmu yang kita pelajari itu memberi manfaat kepada kita dengan satu cara. Iaitu dengan melihat akhlak sendiri.

- Orang beriman, semakin berilmu dia semakin merendah diri.

- Orang beriman, semakin berilmu dia semakin nampak kesalahan diri.

- Orang beriman, semakin berilmu dia semakin suka didekati orang.

- Orang beriman, semakin berilmu, bahasanya percakapannya tidak menyakiti hati orang.

Ada juga orang berkata "Kalau kita ajak orang buat baik, ramai orang tidak suka".

Memang benar. Tidak semua orang suka apabila diseru ke arah kebaikan.

Tidak mengapa jika mereka tidak suka dengan apa yang kita sampaikan. Itu pilihan mereka. Namun jangan sampai mereka tidak sukakannya kerana sikap, ahklak dan cara kita yang tidak elok.




Dah lama saya ikuti fb en Wan ni. Kata-kata nasihat beliau memang bernas dan mengena.
Jom ramai-ramai ikut fb en. Wan. 
https://www.facebook.com/wanwma

;-)


p/s: saya bukan sapa2 dengan en. Wan ni, cuma rasa rugi kalo tak kongsi kat sini. 





Peringatan untuk diri saya sendiri sebenarnya, yang baik kita amalkan, yang tak baik kita tinggalkan. ;-)

07 June 2013

Kursus Penulisan Dokumen Rasmi: Laporan dan Minit Mesyuarat

As-salam,

Diam tak diam, dah masuk bulan enam dah kita yer. Tak lama lagi bulan puasa. Puasa ganti, ehemm. ;-)
Eh, bukan nak bercerita pasal puasa la.

Sepanjang dua hari ni saya telah mengikuti kursus seperti tajuk di atas itu. Tempatnya di organisasi saya sendiri. Alhamdulillah, saya sangat suka dan beruntung dapat hadir dalam kursus ini. Banyak betul ilmu yang dapat dikaut. Kebetulan pulak penceramahnya pandai buat joke, lagi la menarik kursus ni, tak sempat nak ngantuk, ada jer cerita yang menarik yang penceramah kongsi (suka dengar kisah masa muda baliau, ceritanya buat kita gelak jer, heheheheh).

Apa yang saya nak highlight kat sini ialah yang perlu dan tak perlu dalam buat minit dan laporan.

1. Bagi minit mesyuarat, contoh kepala tajuk yang lengkap :

MINIT MESYUARAT 
KUMPULAN INOVATIF DAN KREATIF (KIK) JABATAN PENERBITAN
DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
BIL. 1/2013

Tarikh : 7 Jun 2013 (Jumaat)
Masa : 3.00 petang - 5.00 petang
Tempat : Bilik Mesyuarat A. Kadir Adabi, Tingkat 29, Menara DBP.

Bagi mesyuarat berkala, kena ada bilangan. Selepas tarikh kena letakkan hari. Masa, seelok-eloknya letakkan masa selesai mesyuarat, penceramah kata, masa tersebut untuk panduan kita lihat tempoh masa mesyuarat berlansung, mesyuarat tu terlalu singkat ke atau terlalu lama/ panjang. Kebiasaannya tak letak waktu habis mesyuarat kan. Tapi itu penting untuk pengerusi nak bajet masa.

2. Ada 4 peraturan penting untuk buat minit mesyuarat.
  • Jangan gunakan perkataan yang emotif dan konotatif. Contoh ayat: Pengerusi telah memarahi salah seorang ahli mesyuarat yang ..... atau Pengerusi begitu hancur hatinya .......
  • Jangan menginterpretasikan idea ahli mesyuarat. Contohnya: Idea yang disampaikan oleh ahli mesyuarat telah disalahtafsirkan oleh pencatat minit. Untuk kepastian baik bertanya kepada ahli tersebut apa yang ingin disampaikannya.
  • Jangan buat penilaian sendiri.
  • Jangan menambah-nambah idea ahli mesyuarat.

3. Nama dan jawatan orang yang hadir jangan silap dan susun ikut hierarki. Eja penuh, kalo nak letak bin, binti pastikan eja penuh (jangan eja b., bt., bte.), kalo tak nak letak tak payah letak semuanya, jangan ada setengah letak bin, binti ada setengah tak letak. Haji, Encik, Puan, Tuan, eja biar penuh.

4. Antara ayat-ayat yang boleh digunakan dalam minit:
    • Mesyuarat telah membincangkan ...
    • Mesyuarat telah mempertimbangkan ...
    • Mesyuarat telah membahaskan ...
    • Mesyuarat mencadangkan ...
    • Mesyuarat mengesyorkan ...
dan banyak lagi, jangan duk ulang mesyuarat telah membincangkan, mesyuarat telah membincangkan, mesyuarat telah membincangkan, sampai la minit habis itu jer yang ditulis. Penceramah kata nampak sangat orang yang buat minit malas nak pikior. Heh heh heh.

5. Struktur laporan,
    • Halaman tajuk
    • Penghargaan
    • Halaman kandungan
    • Punca kuasa
    • Prosedur
    • Kaedah (saintifik & kejuruteraan)
    • Ringkasan Eksekutif
    • Pendahuluan
    • Isi Utama
    • Keputusan (saintifik & kejuruteraan)
    • Kesimpulan
    • Cadangan (jika laporan berbentuk analisis)
    • Glosari
    • Lampiran
    • Bibliografi

6. Ciri perenggan yang baik.
    • Fokus 1 idea 1 perenggan.
    • Nyatakan tajuk atau fokus perenggan dalam ayat pertama.
    • Masukkan hanya fakta atau ilustrasi sokongan yang relevan.
    • Pendek, 3 - 7 ayat atau 100 - 125 patah perkataan sahaja.
    • Perbagaikan panjang perengga setiap halaman.

7. Petua penulisan yang baik.
    • Fakta - bukan tanggapan peribadi
    • Padat - bukan bercerita
    • Tepat - bukan panjang berjela
    • Jelas - bukan berkias dan berbunga-bunga
    • Bahasa Tulisan - bukan berbahasa lisan
    • Bahasa Istilah - bukan loghat tempatan
    • Profesyenal - tunjukkan kematangan

Opsss, cukup, cukup sudah, cukup sampai di sini saja. 
Saya syorkan baik attend sendiri kursus ini baru lebih faham dan jelas lagi. Sapa-sapa yang berminat dengan kursus ini boleh mohon di bawah anjuran Akademi DBP. Klik sini nak tengok jadual kursus untuk tahun ini. Ok nak mudah lagi boleh tengok sini. Kat situ boleh muat turun borang (untuk staf luar DBP), pasal bayaran dan no. yang boleh dihubungi. 

Selamat berkursus. 




Peringatan untuk diri saya sendiri sebenarnya, yang baik kita amalkan, yang tak baik kita tinggalkan. ;-)

30 May 2013

Di mana tahap kita

As-salam,

Hari ni saya nak tempek gambar jer. Pasal aurat wanita.
Pandai betul diorang buat poster. Ghalit menengoknya. ;-)
Saya kumpulkan sebahagiannya kat sini.






























Untuk lelaki ada juga.




Semua poster ni saya ambik kat sini.
Menarik, kan.

Saya sendiri, masih banyak yang perlu baiki. Banyak sangat. Paling payah nak pakai stoking, opss, bukan tak pandai pakai stoking, tapi selalu jer lupa, pastu rasa emm, tak per la tak pakai pun. Susah betul nak rajinkan diri pakai stoking. In sha Allah sedang usaha ke arah itu. ;-)






Peringatan untuk diri saya sendiri sebenarnya, yang baik kita amalkan, yang tak baik kita tinggalkan. ;-)

Titisan emas untuk anak kita, jangan lepaskan peluang yang ada

As-salam,

Hari ini saya nak bercerita tentang titisan emas. Apa itu titisan emas? Bukan emas betul2 ek, jangan salah faham pulak. Titisan emas itu adalah susu ibu. Memandangkan saya salah seorang ibu yang masih menyusukan anak saya yang dah berusia 10 bulan dengan susu ibu sepenuhnya, mahu saya kongsikan kat sini kebaikan-kebaikan susu ibu untuk anak kita.

1. Susu ibu dinamakan titisan emas kerana ia mempunyai khasiat yang amat bernilai untuk tumbesaran anak-anak. Susu ibu sangat unik dan penuh dengan azimat dan khasiat. Menurut pakar laktasi, Marjinah Badli, susu ibu adalah makanan semula jadi yang dianugerahkan khusus untuk bayi. Susu ciptaan Ilahi ini sememangnya memenuhi khasiat yang cukup untuk tumbesaran seorang bayi. (dipetik dlm majalah PA&Ma)

2. Terdapat lapan ayat al-Quran yang menyebut tentang susu ibu. Dapat pahala tau. Nak baca lebih lanjut boleh klik sini.

3. Dengan bagi susu ibu kita dapat jimatkan banyak kos. Klik sini dan sini kalo nak tau kebaikannya, dan nak banyak lagi, boleh cari di internet.

4. Sekarang ni dah ramai orang yang sedar tentang kebaikan susu ibu, klinik2 kerajaan dan swasta pun menyokong penyususan susu ibu. Kalo kita buat check up kat klinik kerajaan diorang akan panggil kita (sekumpulan) dan menerangkan kebaikan penyusuan ibu sepenuhnya pada anak yang baru lahir. Maksudnya awal2 lagi kita dah didedahkan tentang kebaikan susu ibu kan. Klik sini untuk lihat Hospital Rakan Bayi.

5. Untuk ibu yang bekerja, tiada alasan tak boleh bagi susu ibu pada anak sebab dah banyak peralatan dan kemudahan mengepam yang dah ada di pasaran. Kat kedai2 baby ada, kat shopping komplek pun ada, kat online pun ada. Yang mahal atau yang murah pilih lah ikut kemampuan kita. Senarai butik baby dan senarai kedai online baby.

6. Tak tahu macam mana nak perah susu dan nak handle susu ibu? Jangan risau, banyak maklumat ada di internet, taip saja kata kunci yang kita nak tahu, pasti beratus-ratus info yang akan kita dapat. Buku2 dan majalah tentang penyusuan pun dah banyak di pasaran. Jadi tiada alasan kita susah nak dapat maklumat. Sama ada kita nak ker tak nak, atau rajin ker malas. Pengasuh kat rumah atau di taska pun dah pandai handle susu ibu ni. Jadi ini pun bukan masalah, dan tak perlu risau nak tinggalkan anak di taska atau pengasuh bila nak gi kerja, (pengasuh anak saya mengasuh tiga orang budak - termasuk anak saya, ketiga2nya minum susu ibu sepenuhnya). ;-)

7. Susu kita kurang la, atau susu dah kering la. Ini pun ada penyelesaiannya. Banyak cara kita boleh buat untuk banyakkan penghasilan susu ibu. Sama ada melalui pemakanan kita seharian, teknik urutan atau vitamin tambahan, yang penting kita usaha! Jika dah usaha pelbagai cara nak banyakkan susu badan tapi tak berjaya jugak, tak perlu bersedih, susu formula pun boleh bagi, tak der salahnya dan tak der silapnya (tak kan nak bagi anak kita tu lapar kan). Sekurang-kurangnya kita dah usaha nak bagi susu ibu kat anak kita tapi tak berjaya jugak, Allah Maha Mengetahui.

8. Dalam menjayakan penyusuan susu ibu sepenuhnya ni, banyak halangan, cabaran dan cemuhan yang akan kita dapat. Jangan tak percaya, ramai yang mengalah pada halangan2 tersebut. Memang kita tak dapat nak tutup mulut orang yang berkata itu ini. Dengar dan senyum saja, nak terang pada dia pun tak der faedah sebab dia dah setkan dalam minda dia menyusu anak kecil ini menyusahkan. Kalo dia terima pandangan kita tak apa, kalo dia masih mencemuh baik kita blah saja dari dia. He he heh heh. Maka dalam hal ini, keluarga terdekat kena bagi sokongan pada ibu2 yang nak menyusukan anak sepenuhnya. Yang paling penting adalah sokongan encik suami. Suami pun kena ada sedikit pengetahuan pasal penyusuan ni, kena briefing suami betul2 ya.

9. Menyusukan anak ni kita akan dapat pengalaman manis sebenarnya. Dalam tempoh dua tahun ni banyak benda yang kita buat luar dari kebiasaan kita. Bila anak dah besar, bila anak dah lebih dua tahun kita dah tak buat dah benda2 macam tu lagi dah. Pengalaman best bagi saya, antaranya kita akan bersahabat baik dengan pumping kita, pergi kerja balik kerja duk kelek beg pump jer, nak balik kampung pun kena bawak, sebab nak buat stok susu, kena bangun tengah2 malam buta semata2 nak buat stok jugak, berpantang makan bagi ibu yang menyusukan, bercerita dengan kawan-kawan tentang pump hari tu dapat banyak mana, makan apa yang bagi banyak susu , kat peti ais kat rumah pun penuh dengan susu ibu (seronok betul rasa bila stok susu dah banyak, ehe he he), tiap2 bulan suruh suami beli plastik simpan susu, (jangan terkejut, suami saya pandai beli plastik brand mana yang saya mahu ok, ehek). Pengalaman pahit pun ada jugak, antaranya, bila susu kurang, kita jadi tak tentu arah, tak tido malam dibuatnya kalo, bila susu tumpah, huh paling menakutkan dan paling sedih la kalo itu berlaku, puting luka dan berdarah pun, ngeri dan sakit! Itu antaranya la, banyak lagi pengalaman pahit dan manis sepanjang kita menyusukan tu. Semua tu akan kita rindu nak buat tau, bila anak dah besar nanti. (kalo rindu tambah la anak lagi kan, he he heh heh).

10. Untuk ibu-ibu dan bapa-bapa muda (yang baru dapat anak), bila anak dalam kandungan lagi, set dalam minda nak bagi susu ibu pada anak yang akan lahir nanti. Dalam tempoh mengandung tu, cari la sebanyak mana maklumat tentang penyusuan susu ibu. Bila anak dah lahir tu, terus bagi susu ibu padanya (awal2 susu yang keluar yang warna kuning tu namanya kolostrum, kolostrum ni mengandungi zat dan antobodi yang melindunyi bayi kita) dan teruskan bagi dia susu ibu saja hingga umur 6 bulan dan teruskan lagi sehingga dia  berumur dua tahun. Sekarang ni mudah sangat nak cari info2 ni, hanya klik saja. Kalo nak nasihat pada yang pakar boleh pergi kelas yang dianjurkan oleh pihak yang berkaitan. Web ini banyak membantu, jangan lupa klik yer.  Jika ada kemahuan, di situ ada jalan. In sha Allah. Semoga berjaya.


Buku tentang penyusuan milik saya.


p/s:
Saya tak kata mereka yang beri susu formula pada anak mereka itu tak bagus. Itu adalah pilihan masing-masing dan kita tak tahu masalah sebenar mereka.
Entry saya ni adalah sedikit perkongsian yang saya tahu untuk mereka yang nak tau tentang penyusuan susu ibu. Semoga bermanafaat. ;-)





Peringatan untuk diri saya sendiri sebenarnya, yang baik kita amalkan, yang tak baik kita tinggalkan. ;-)

29 May 2013

Pesanan Abdullah bin Mas'ud - Kelas Jumaat Surau Al-Hukama

As-Salam,

Disampaikan oleh Ustazah Norhidayah (Ustazah Pilihan).

Point2 penting yang saya dapat ambil,

1. Banyak orang yang terhanyut dalam kenikmatan.
- Tak salah kita nak kaya atau nak kesenangan dunia, tapi jangan sampai lupa pada suruhan Allah. Ramai orang bila dapat kebahagiaan, kekayaan, kemasyhuran, jadi lupa diri. Contohnya lupa nak bersedekah, lewat-lewatkan solat, dah kurang masa baca Qur'an, kurang masa dengan anak, isteri. Kekayaan dan kebahagiaan buat dia lalai dan lupa diri hingga sibuk dengan urusan dunia. Boleh aje kita berdoa, "Ya Allah, berilah rezeki/kebahagiaan/kesenangan/ kepadaku". Tapiii, Ustazah pesan, dalam doa tu jangan lupa tambah tiga perkataan ni. "Ya Allah, berilah rezeki/kebahagiaan/kesenangan kepadaku dalam ketaan kepada Mu". Biar la datang banyak mana pun rezeki kepada kita, dalam apa jua bentuk rezeki tu, mudah-mudahan kita tak alpa dan lalai pada perintah Allah. In sha Allah.

2. Banyak orang terkena fitnah dengan pujian.
- Semua orang suka akan pujian. Walau sebesar zarah pasti terdetik di hati kita rasa bangga dengan pujian yang diberikan, betul tak. Jangan bangga diri dulu, pujian tu memang selayaknya ker untuk kita. Kisah seorang Ketua sebuah organisasi ni. Organisasinya telah mendapat satu kejayaan besar sehingga mendapat banyak pujian dari banyak pihak. Dia ingin mengelak tapi tak dapat kerana pujian datang bertalu2 padanya. Sebenarnya ketua tersebut merasa sedih dengan pujian itu sebab dia tahu, kejayaan itu bukan atas usaha dia seorang saja. Tanpa staf2 dia, manakan mampu dia mencapai kejayaan tersebut. Itu orang yang tahu makna pujian. Bagi yang suka dengan pujian? Banyak sangat diberi pujian boleh sebabkan dia jadi bangga diri, ego dan sombong, pastu orang pun mengumpat kat dia. (opsss, terlebih sudahh, ehe heh). Kalo boleh elak pujian elakkan la. Dan jangan harapkan sangat pujian, biar Allah sahaja yang balas atas usaha baik yang telah kita buat. Segala puji hanya pada Allah.
Nak baca lebih lanjut tentang pujian dan cacian boleh klik sini.

3. Banyak orang tertipu dengan keaiban yang tertutup.
- Kita tertipu dengan keaiban dan dosa kita kerana Allah tutup di dunia. Ramai kita rasa selamat dengan dosa yang telah kita buat. Memang Dia tak balas di dunia, tapi di akhirat pasti akan dapat pembalasan. Maka kita kena selalu bertaubat. Semoga Allah ampunkan dosa-osa kita. Insha Allah.

"Dunia ini ladang ibadah, hasilnya adalah di akhirat nanti".






Peringatan untuk diri saya sendiri sebenarnya, yang baik kita amalkan, yang tak baik kita tinggalkan. ;-)

23 May 2013

Zikir Fatimah - Kira cara saya

As-Salam,

Tentu ramai yang dah tahu apa zikir Fatimah kan. Kat sini saya nak kongsi cara saya amal zikir ni. Biasanya kita guna biji tasbih. Tapi saya tak gunakannya sebab ada cara yang lagi mudah dan ringkas. Nak tahu tak? ;-)

Masa zaman saya kecik2 dulu, ayah selalu paksa kami adik beradik solat jemaah dengan ayah. Waktu Maghrib tu rajin la, bila berjemaah Isyak tu aduhhh, ngantuk sungguh. Huhuhuhuuu.... zaman sekolah rendah, ingat nak main, tengok tv, main, tengok tv. ehe he he ;-)

Lepas solat, ayah selalu wirid panjang2. Ayah baca kuat2, jadi kami boleh dengar dan hafal sekali. Bila tiba zikir Fatimah, ayah gerak2 kan jari dia. Masa tu saya tak faham pun. Tak tau pun yang zikir Fatimah baca 33x. Tengok dan ikut jer la ayah buat. Tak tau napa, masa tu tak la pulak saya tanya ayah napa ayah gerak2 jari macam tu. Bila dah lama2 tu baru la saya faham sendiri, ayah zikir Fatimah juga jarinya saja rupanya, ayah tak guna biji tasbih. Macam mana ayah saya buat tu?

Tengok tapak tangan kita (gambar di bawah). Kat setiap jari ada pecah tiga kan. Sepeti yang saya nomborkan tu, kita start dengan jari telunjuk kanan. Guna ibu jari bilang 1 sampai 12, pastu sambung ke ibu jari sendiri guna pulak jari telunjuk no. 13 - 15. Sambung  tangan kiri pulak. sama juga guna ibu jari bilang start jari telunjuk no. 16 - 27 dan ibu jari sampai 30, dan last skali sambung balik ibu jari kanan guna jari telunjuk no. 31 - 33. Emm, macam berbelit jer ayat saya tu, tak faham ek. kalo ada video lagi senang kan. Tapi boleh nampak tak dengan belahan2 jari kita tu kira boleh zikir Fatimah. Cukup 33, dan ada 34 tu kita tambah sendiri la. Tak tau la saya ada tak orang lain yang guna cara sama macam saya ni. Tapi ini la cara saya bila nak zikir Fatimah. Senang dan pantas. Boleh berzikir di mana-mana saja dan bila-bila masa. In sha Allah.



sumber gambar

Sedikit info mengenai Zikir Fatimah.

Diceritakan pada suatu hari Fatimah mengeluh kepada alat penggiling rotinya dan menyampaikan hasratnya ingin seorang pembantu. Lalu Rasulullah S.A.W. berkata kepada anaknya. "Ketahuilah akan ku ajarkan kepada mu sesuatu yang lebih baik daripada sesuatu yang engkau minta daripadaku. Apabila engkau hendak tidur, maka Bertakbirlah (Allahu akhbar) 34x, Bertasbihlah (Subhanallah) 33x, dan Bertahmidlah (Alhamdulillah) 33x, maka itu adalah lebih baik dari seorang pembantu rumah".

Nak baca lebih lanjut, boleh klik sini.






Peringatan untuk diri saya sendiri sebenarnya, yang baik kita amalkan, yang tak baik kita tinggalkan. ;-)

21 May 2013

Orang ikhlas itu tertindas?

As-Salam,

Saya dapat emel ni dah lama sangat dah, saya suka dengan kisah yang diceritakan. Sangat menyentuh rasa.
Selamat membaca.



Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.
“Mengapa?” balas saya.
“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, fokus saya kepada kerja sahaja.”
Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?
Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”
Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.
“Oh ramai encik…”
“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”
Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
“Kakak, boleh saya bertanya?”
“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.
“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”
Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”
Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.
“Maksud encik?”
“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”
“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”
“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”
“Maksud kakak?”
“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan     kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga  saya. Begitukah encik?"
“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”
Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.
“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”
Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.
“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”
Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”
“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’
“Pasti ada! Insya-Allah.”
“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”
“Subhanallah!”
“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”
“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.
“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”
“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”
“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”
“Maksud encik?”
“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”
“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”
Giliran saya pula tersenyum.
“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.
“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”
“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”
“Maksud encik?”
“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”
“Kenapa?”
“Kita akan sakit jiwa!”
“Kenapa?”
“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.
“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.
“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”
“Ah, kita terlalu ego…”

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?


"Maka nikmat Tuhan kamu yang mana satukah yang kamu dustakan?" (Surah Ar-Rahman)
renung-renungkan lah. :-)





Peringatan untuk diri saya sendiri sebenarnya, yang baik kita amalkan, yang tak baik kita tinggalkan. ;-)

Jangan bebankan diri dengan urusan agama

As-Salam,

Sedikit catatan yang saya dapat dalam kelas Jumaat oleh Ustazah Suraya pada 19/4/2013 (Jumaat) di Surau Al-Hukama', Menara DBP.

Tajuknya : Jangan bebankan diri dengan urusan agama.
Point-point penting yang saya dapat ambil ;
1. Ambillah pekerjaan sesuai dengan keadaan kamu.
2. Jangan paksa diri.
3. Allah berkehendak kepada kamu kebajikan bukan kesusahan.
4. Buat sesuatu benda pandang sekeliling.
5. Doa untuk istiqamah.

Apa yang boleh saya ringkaskan dari tajuk berkenaan ialah, jika kita nak buat sesuatu ibadah, jangan sampai berlebih-lebihan. Sehingga menyusahkan dan memudaratkan diri kita dan orang disekeliling kita. Contoh yang ustazah bagi, nak buat sembahyang sunat, Allah tak larang nak buat banyak mana. Tapi kena tengok situasi kehidupan kita. Jangan terlampau taksub buat sembahyang sunat sehingga lalai menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan sebagai pekerja. Mungkin kesannya akan menyusahkan orang di sekeliling kita. Ada sesetengah orang, buat solat sunat tak henti2, sampai tak tido malam, pas tu tak larat nak buat kerja, kan dah menyusahkan diri sendiri. Tak bagus macam tu. Buat biar berpada2. Lagi satu mohon pada Allah agar kita tetap dalam melakukan sesuatu perkara, buat sikit tak per asalkan buat tu tiap2 hari dan jadi amalan kita. Islam itu indah dan mudah. ;-)




Peringatan untuk diri saya sendiri sebenarnya, yang baik kita amalkan, yang tak baik kita tinggalkan. ;-)

20 May 2013

Banyak mana yang kita perlu makan sehari-hari

As-salam,

Pergi melawat anak saudara belah suami kat Hospital Selayang baru-baru ni. On the way nak gi kafe tu ada papan yang menarik perhatian saya. Bagi orang yang nak diet macam saya ni memang sesuai sangat lah! Saya tunjuk gambar dulu, pah tu baru analisis ek. (eceh, analisis konon macam la dia pakar pemakanan, ehekhek).


Untuk golongan pertama



Golongan kedua



Golongan ketiga




Golongan keempat


Ok, apa yang saya dapat simpulkan, kita boleh kawal berat badan kita berdasarkan jumlah kalori yang kita makan sehari-hari. Jika kita kurus nak jadi berisi sikit, kena tambah nilai kalori makanan kita, kalo kita dah dalam berat ideal kena maintain 1800 kalori, dan kalo kita nak turunkan berat badan, jumlah kalori yang kena ambil kena kurang. Maksudnya makin berat badan kita, makin kurang kalori yang kita kena ambil. Ringkas lagi, bagi golongan berbadan besar kena kurang makan, dan bagi yang golongan kurus kena la banyak makan.

Nilai kalori-kalori ni maksudnya unit ukuran bagi tenaga atau lebih senang faham saiz makanan yang kita makan, tak kisah kita nak makan nasi ker, ayam goreng ker, makanan berlemak ker, minuman bergula ker, TAPI!, pastikan kuantiti/ saiz makanan yang kita ambil tu mengikut nilai kalori yang sepatutnya kita ambil.  Rajah kat atas tu dia dah bagi jumlah makanan yang sepatutnya kita ambil berdasarkan berat badan kita. Satu contoh yang saya ambil, bagi waktu makan tengahari ,orang yang kurang berat badan dan berat badan idea, boleh makan 2 cawan nasi dan satu ekor ikan. Bagi golongan lebih berat badan dan obesiti pula, kena makan 1 cawan nasi sahaja, dan 1/2 ekor ikan (obesiti). Nampak kan perbezaannya. Makanan yang sama tapi saiz yang berlainan. Boleh ajer kalo nak makan lebih dari nilai kalori yang sepatutnya kita ambil, tapi kita kena gantikan dengan senaman pulak sebab nak bakar balik kalori yang terlebih kita ambil tu. Kalo tak bakar kalori akan terkumpul dan kalo dah simpan lama2 akan jadi lemak dan sebab tu berat kita susah nak turun (bagi golongan lebih berat badan). Maka jika terlebih atau terkurang nilai kalori yang kita ambil, akan menyebabkan kita jadi kurang berat badan atau jadi montel. :-)

Oh, bagaimana kita nak kira nilai kalori yang perlu kita ambil sesuai dengan badan kita sendiri. Ada formulanya yer. Saya copy dari sini.

Langkah 1:   Menentukan berat badan (kg) dan Tinggi.

Langkah 2: Menentukan Indeks Jisim Tubuh (BMI) dan status berat badan. BMI boleh ditentukan seperti berikut:


                     BMI  =                 Berat (kg)          
                                             Tinggi (m) x Tinggi (m)

                            Status berat badan ditentukan menggunakan klasifikasi berikut:

BMI
Status
Kurang dari 18.5
Kurang berat badan (KBB)
18.5 - < 23
Berat badan normal
23 - < 27.5
Berlebihan berat badan (LBB)
> 27.5
Obese
                            (perlu gunakan klasifikasi asia)

Contoh Pengiraan BMI :

Berat badan = 50 kg
Tinggi         = 1.50 m

BMI =          50 kg                = 22  (Berat badan normal)
             1.50 m x 1.50 m

Langkah 3: Mengetahui status aktiviti fizikal samada aktif, sederhana aktif atau sangat aktif dengan menggunakan panduan ini:

STATUS AKTIVITI
Tidak aktif
Sederhana aktif
Sangat aktif
75% daripada masa adalah duduk atau berdiri
25% daripada masa adalah duduk atau berdiri
40% daripada masa adalah duduk atau berdiri
25% daripada masa adalah berdiri dan membuat pekerjaan ringan
75% daripada masa adalah berdiri dan membuat pekerjaan sederhana
60% daripada masa adalah berdiri dan membuat pekerjaan berat
Contoh:
Pekerja pejabat, tukangjahit, pekerja industri ringan, pemandu teksi, surirumah
Contoh:
Tukang kayu, guru, pekebun, jururawat, juruteknik
Contoh:
Buruh kasar, pekerja kontrak, pekerja industri berat, pelombong, ahli sukan

Langkah 4: Mengira anggaran keperluan kalori

Status Aktiviti
BMI > 23
(LBB & obes)
BMI 18.5 - 22.9
(normal)
BMI < 18.5
(KBB)
Tidak Aktif
 25 & 20 kkal/kg
30 kkal/kg
35 kkal/kg
Sederhana aktif
 30 & 25 kkal/kg
35 kkal/kg
40 kkal/kg
Sangat aktif
 35 & 30 kkal/kg
40 kkal/kg
45 kkal/kg

Keperluan kalori = Berat badan x Keperluan tenaga (Faktor F)
                                                            

       Gunakan berat badan semasa jika BMI 18.5 - 27.5

       Gunakan berat badan unggul jika BMI > 27.5 atau BMI < 18.5

       Berat badan unggul = 22 x tinggi (m) x tinggi (m)

Contoh:

Berat badan unggul = 22 x 1.60 m x 1.60 m = 56 kg


Eh, eh, pening ker. Tak per, saya cuba terangkan ek. Ambik contoh diri saya sekarang.

Langkah 1: Berat 63kg (oh gemuknya saya), Tinggi 149 cm.
Langkah 2: BMI : 28.3 (obesiti)
Langkah 3: Tidak Aktif
Langkah 4: 20 (sebab saya dalam kategori tidak aktif dan obes)
Keperluan Kalori = 63kg x 20(Faktor F) = 1260 kalori

TAPI! 1260 kalori tu untuk kekal berat macam tu. Jadi saya tak boleh ambil nilai kalori tu kalo saya nak turunkan berat badan saya. Jadi step terakhir kena kira berat badan unggul sesuai dengan kita.

Berat badan unggul saya = 22 (BMI normal) x 1.49 (tinggi) x 1.49 (tinggi) = 48.8kg (glup....)
Maksudnya berat badan yang sesuai dengan ketinggian saya ialah 48.8kg. huhuhuuuuu.....

Tapi saya tak la target macam anak dara dulu, saya target 55kg, tapi masih dalam BMI normal. Maka berapa kalori yang saya perlu ambil kalo nak berat 55kg tu?

Kena kira balik Keperluan Kalori Sebenar = 55kg (berat terget) x 20 (faktor F asal) = 1100 kalori

Nampak tak beza kalori saya tu. Jika saya ambil 1260 kalori, kekal pada berat asal 63kg. Untuk turun berat ke target 55kg saya kena makan 1100 kalori sahaja. Huhuhuuuu nangis. Sikitnyaa la 1100 tu. Tapi untuk sihat kena la berkorban kan.

Nak kira kalori yang kita makan sehari-hari boleh gi blog cekodok. Masukkan menu apa yang kita ambil hari ini dan campur2 la semua. Pastu tengok dah lebih atau belum cukup jumlah kalori yang kita ambil untuk hari ni. Bagi mereka yang nak badan sihat tanpa makanan tambahan lain, mesti cuba cara ni. In sha Allah, ada usaha pasti berjaya. Selamatttt.


p/s: fuhhh...... lap peluh sekejap. Panjang pulak entry tajuk ni. Sebenarnya saya bersemangat nak kurus, tapi tak start lagi. Habih camno tu. hek hek hek. ;-)




Peringatan untuk diri saya sendiri sebenarnya, yang baik kita amalkan, yang tak baik kita tinggalkan. ;-)